Laporan Bangunan Bersejarah

- CONTOH FORMAT -


- CONTOH KARANGAN -

Kepentingan bangunan bersejarah dan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaannya :


LAPORAN TENTANG KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH DAN USAHA-
USAHA PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAANNYA

1.0 Pendahuluan
              Negara kita sememangnya kaya dengan bangunan bersejarah,
       terutamanya yang ditinggalkan oleh penjajah pada suatu masa dahulu.
       Oleh itu, kita harus memelihara dan memulihara bangunan tersebut
       daripada dirosakkan ataupun musnah. Antara bangunan bersejarah
       yang terkenal adalah seperti Bangunan Stesen Keretapi dan
       Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, Kelly's Castle dan
       Istana Bukit Chandan di Perak, Kota Cornwallis dan Masjid Kling
       di Pulau Pinang,  Istana Lama Seri Menanti di Negeri Sembilan,
       Bangunan Kota A Famosa dan Stadthuys di Melaka. Semua bangunan
       -bangunan bersejarah ini kaya dengan unsur sejarah dan keseniannya
       yang tersendiri. Dalam erti kata lain, bangunan bersejarah yang
       terdapat di Malaysia ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri
       kepada negara.

2.0 Ahli Jawantankuasa Kecil
       Datuk Muhammad Farid bin Abdul Manaf (Pengerusi)
       Datin Nadira binti Abdul Rahman (Setiausaha)
       YM Raja Luqman bin Raja Kamal (AJK)
       Puan Privasuki a/p Velayutham (AJK)
       Encik Kong Chee Huat (AJK)
       Puan Immazaitul Ain binti Muhd. Rizal (AJK)

3.0 Kepentingan Bangunan Bersejarah
       3.1 Dijadikan sebagai bahan kajian atau untuk mendapatkan fakta
            sejarah
                    Jawatankuasa ini mendapati bahawa bangunan-bangunan
            bersejarah tersebut dapat membantu para pengkaji sejarah dari
            dalam atau luar negara bagi mengkaji dan memperlengkapkan
            fakta sejarah. Sebagai contohnya, para pengkaji sejarah dapat
            mengkaji perkembangan Islam di negara ini dengan mengkaji Masjid
            Kampung Hulu di Melaka yang berasaskan seni bina Cina. Mereka
            juga dapat mengenal pasti pengaruh budaya Cina dalam seni bina
            di negara ini. Hal ini akan memasyhurkan nama negara sebagai
            pusat kajian sejarah ketamadunan dan kebudayaan serantau dan
            global.

       3.2 Menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan asing
                     Terdapat banyak bangunan bersejarah di negara ini yang
             mempunyai seni bina yang cantik, unik dan berbeza daripada
             negara-negara yang lain. Keunikan dan kelainan seni bina seperti
             Saracenic pada Masjid Ubudiah di Perak atau Moorish dan Neo-
             Classical pada Bangunan Bekas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur
             misalnya, sudah tentu dapat menarik minat para pelancong untuk
             datang ke negara ini. Secara tidak langsung, dapat meningkatkan
             mata wang asing dalam negara bahkan dapat menggalakkan
             industri pelancongan di negara kita. Dengan adanya bangunan-
             bangunan bersejarah yang unik ini sudah pasti pelancong yang
             datang dari luar ataupun dalam negara dapat menyaksikannya
             dengan mata kepala sendiri iaitu tentang kearifan dan kepakaran
             para jurubina pada masa lalu. Di samping itu, mereka dapat
             mendalami mengenai sejarah yang wujud disebalik pembinaan
             bangunan tersebut.

       3.3 Memperkenalkan identiti negara di peringkat global
                  Selain itu, dalam pembinaan bangunan bersejarah sebegini
             terdapat pelbagai unsur dan ciri seni bina yang digunakan oleh
             para arkitek silam, sama ada arkitek yang ternama ataupun yang
             tidak ternama. Unsur-unsur dan ciri yang diaplikasikan oleh
             mereka itu mengikut budaya setempat selain kreatif
             mengadunkannya dengan seni bina luar. Sebagai contohnya, Istana
             Lama Seri Menanti bercirikan seni bina Minangkabau, Menara
             Condong Teluk Intan bercirikan seni bina Cina dan Bangunan
             Stadthuys bercirikan seni bina Eropah. Kesemua seni bina ini
             telah menjadi lambang keunikan identiti masyarakat majmuk yang
             terbuka dalam soal seni bina.

4.0 Usaha-usaha Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
       4.1 Mengadakan kempen besar-besaran tentang kepentingan
             pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah
                   Jawatankuasa ini mempunyai keyakinan bahawa kempen perlu
            dijalankan secara besar-besaran mengenai kepentingan
            pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Hal ini
            demikian, anggota masyarakat, sama ada dari dalam ataupun luar
            negara akan tahu dengan lebih jelas tentang kepentingan
            pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Di samping
            itu, semua orang akan mendapat maklumat dengan lebih yang jelas
            dan secara tidak langsung tidak sesekali merosakkan atau
            mengotorkannya sewenang-wenangnya.

       4.2 Kerajaan berusaha mengenal pasti, mengisyhtiharkan dan
             mewartakan bangunan-bangunan yang dikatakan sebagai
             bangunan bersejarah
                    Kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk mengekalkan
             keberadaan dan keunikan bangunan bersejarah di negara ini.
             Usaha ini dapat dilihat pada Jabatan Warisan Negara yang
             terus berusaha untuk mengenal pasti dan kemudiannya mewartakan
             bangunan-bangunan yang telah terbukti mempunyai sejarahnya
             yang tersendiri. Melalui usaha ini, banyak bangunan bersejarah
             yang menjadi kebanggaan negara telah berjaya dipulihkan kepada
             bentuknya yang asal. Sebagai contohnya seperti Masjid Lama
             Kampung Dal di Kuala Kangsar, Gereja St. George di Pulau Pinang
             dan Istana Bandar di Jugra.

5.0 Penutup
           Bangunan bersejarah merupakan aset warisan bangsa dan negara
yang sangat tinggi nilainya. Bangunan-bangunan yang menjadi lambang
keagungan dan ketamadunan bangsa dan negara ini wajar dikekalkan agar
generasi muda dapat mempelajari sesuatu disebalik sejarah yang berada
di setiap bangunan bersejarah tersebut. Oleh itu, masyarakat dan pihak
kerajaan perlu menjangkau sehabis tangan bagi memastikan aset warisan
bangsa dan negara ini terus tegak menongkat langit di muka bumi Malaysia.

Laporan disediakan oleh :                                                                            20 JULAI 2016

...................................................................................
(MUHAMMAD FARID BIN ABDUL MANAF)
Ketua Setiausaha,
Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan.

No comments:

Post a Comment